ACT: Skuad hoki negara berisiko hilang Oltmans

Oleh Staff Writer 23 Julai 2020 393
ACT: Skuad hoki negara berisiko hilang Oltmans
Skuad hoki negara berisiko terpaksa menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Dhaka, Bangladesh, November depan tanpa ketua jurulatih, Roelant Oltmans.

Ia selepas Kerajaan Belanda tidak membenarkan warganegaranya berkunjung ke negara yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi.

"Secara jujurnya, kerajaan Belanda telah mengeluarkan arahan dan tidak membenarkan saya untuk ke sana (Bangladesh).

"Saya tidak pasti bagaimana kami boleh melakukannya sama ada ia akan dipindahkan ke negara lain yang lebih selamat atau mereka menundanya tetapi ia terpulang kepada Persekutuan Hoki Asia (AHF) untuk menentukannya.

"Tetapi amat jelas bahawa ia (beraksi di Bangladesh) bukan situasi paling selamat," kata Oltmans.

Dalam perkembangan berasingan, bekas pengendali skuad hoki negara, Paul Revington, dilaporkan telah meletakkan jawatannya sebagai jurulatih skuad pembangunan wanita Great Britain, sekaligus menguatkan spekulasi bahawa dia akan kembali ke Malaysia  bagi mengisi jawatan pengarah Skuad Projek 2026.

"Ia sangat bagus untuk masa depan hoki negara kerana jawatan yang bakal disandang oleh Paul Revington adalah program jangka panjang. Ia sangat membantu pemain muda untuk meningkatkan prestasi," kata pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abdul Rahim.

Calon penjaga gol utama skuad negara, Hairi Abd Rahman, menambah: "Kita sudah lihat prestasi Paul Revington ketika membimbing skuad negara sebelum ini dan perkara ini adalah sangat baik sekiranya spekulasi ini benar."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen