ACT medan Oltmans cipta impak awal 

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2018 202
ACT medan Oltmans cipta impak awal 
Roelant Oltmans berpeluang mencipta sejarah dalam ujian sulung selaku ketua jurulatih skuad hoki negara sekiranya membawa The Malaysian Hockey Tigers layak ke final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman, bermula Khamis ini.

Skuad hoki negara berlepas ke Oman dengan misi menamatkan badi separuh akhir tatkala Malaysia meraih tangga ketiga ACT sejak edisi pertama pada 2011, namun situasi mungkin berubah dalam edisi kelima di Muscat, Oman ini.

Otlmans membawa gabungan pemain muda dan senior dengan misi sekurang-kurangnya mengekalkan pencapaian hebat pingat perak Sukan Asia Indonesia, bulan lalu.

"Ada beberapa aspek yang telah saya perincikan semasa sesi latihan dan ia akan menjadi tumpuan utama saya. 

"Sudah tentu apabila kami turun bertanding, saya mahu memenangi kejohanan dan bukannya setakat menyertainya. Itu sepatutnya sentiasa menjadi sasaran kami," kata Oltmans.

Sementara itu, pemain negara, Sukri Mutalib, kembali memakai lilitan kapten berikutan ketiadaan Muhammad Razie Abdul Rahim yang direhatkan ekoran kecederaan.

Pertahanan itu berdepan tugas penting mengemudi benteng skuad kebangsaan tanpa Razie sambil penjaga gol senior, S. Kumar, belum pulih daripada kecederaan tangan.

"Kami mengintai peringkat separuh akhir terlebih dahulu sebelum melihat peluang untuk mara ke final. 

"Harapan saya dalam saingan ACT kali ini ialah kami dapat pergi lebih jauh, iaitu mara ke perlawanan akhir," kata Sukri. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen