Malaysia mengekalkan rentak kemenangan dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2018 dengan menundukkan tuan rumah Oman 3-1 dalam perlawanan kedua pusingan awal di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat, Oman, awal pagi tadi.

Skuad Harimau Malaysia itu, yang mengetepikan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Jepun, 3-0 dalam perlawanan pusingan awal Khamis lalu, mendahului kedudukan melalui jaringan padang oleh Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-26, menurut laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Bagaimanapun, Oman menyamakan kedudukan pada minit ke-34 melalui jaringan Rashad Al Fazari melalui pukulan penalti.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil meletakkan kembali Malaysia di hadapan melalui jaringan pada minit ke-46 sebelum penyerang kebangsaan, Faizal Saari, menjaringkan gol kemenangan melalui pukulan padang dua minit kemudian.

Ketua jurulatih kebangsaan Roelant Oltmans, yang amat gembira dengan keputusan itu bagaimanapun berkata pasukan negara sebenarnya mampu mencapai kemenangan lebih besar sekiranya pemain meningkatkan tempo permainan.

“Menjaringkan lebih banyak gol memang bagus tetapi kemenangan juga boleh dicapai jika sesebuah pasukan itu tidak membiarkan pintu golnya dibolosi.

"Selalunya, 95 peratus kemenangan dalam sesuatu perlawanan berada di tangan anda sekiranya anda menjaringkan tiga gol dan itulah yang kami lakukan ketika menentang Oman,” katanya.

Warga Belanda berusia 64 tahun itu berkata beliau akan memanfaatkan rehat selama dua hari untuk memulihkan tenaga anak buahnya serta memantapkan lagi taktik perlawanan sebagai persiapan menentang Korea Selatan dalam perlawanan ketiga Isnin ini.

Enam negara Asia menyertai kejohanan dua tahun sekali itu yang terdiri daripada Jepun, Korea Selatan, India, Pakistan, Malaysia dan Oman.

Untuk rekod, Malaysia menduduki tempat ketiga pada empat edisi sebelum ini — 2011 di China, 2012 (Qatar), 2013 (Jepun) dan 2016 di Kuantan, Pahang.

-- BERNAMA