Bekas jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans, menganggap Malaysia belum mampu menyaingi India dan perlu bekerja keras dalam banyak aspek.

"Saya berpendapat India sebuah pasukan yang ampuh.

"Saya tidak percaya dengan kemampuan Malaysia untuk menewaskan India ketika ini.

"Segala kemudahan di Malaysia agak ketinggalan jika dibandingkan dengan India. Malaysia belum ada program kebangsaan setaraf mereka untuk mencapai jangkaan itu," katanya dalam wawancara maya bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Oltmans kembali ke Belanda dan menganggap peletakan jawatannya didorong oleh ancaman pandemik itu kerana dia perlu mengambil risiko perjalanan jarak jauh.

Ia disifatkan sebagai satu keputusan yang wajar berikutan penularan wabak COVID-19 walaupun terpaksa meninggalkan The Hockey Malaysian Tigers.

"Ia keputusan yang tepat biarpun sukar buat masa ini.

"Segalanya boleh dikatakan masih tidak menentu dalam tempoh enam bulan lagi memandangkan virus ini belum lenyap lagi walaupun menunjukkan penurunan kes.

"Terdapat peningkatan di seluruh dunia," katanya.

Oltmans menganggap pelantikan pembantunya, Arul Selvaraj, mampu mencabar Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Dhaka, Bangladesh, November depan kerana amat memahami selok belok kancah tempatan.

"Dia telah melaksanakan tugasnya bersama kelab UniKL dengan baik sejak beberapa tahun lalu.

"Saya harap barisan kejurulatihan boleh bawa pasukan kebangsaan layak ke Piala Dunia," katanya.


Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kejurulatihan Kali Kelima yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan,...

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Monday, August 3, 2020


Dalam masa sama, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, melabel Arul merupakan satu sosok yang cukup berpengalaman dalam Liga Hoki Malaysia (LHM).

"Jawatankuasa kejurulatihan berasakan kuasa terhadap jawatan ini perlu diserahkan kepada pengendali tempatan.

"Ia pasukan impian kerana semua jurulatih ini merupakan bekas pemain.

"Arul Selvaraj pernah menjadi pemain kebangsaan bersama-sama Nubli Nasihin.

"Amin merupakan bekas ketua pasukan termasuk pakar pukulan sudut penalti.

"Nasihin pula pernah bergelar penjaga gol utama negara dan kini menggalas tugas sebagai penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol.

"Tiada siapa yang lebih memahami pasukan ini berbanding mereka," katanya.

Subahan juga menangkis khabar angin bahawa KHM mempertimbangkan untuk melantik semula bekas jurulatih, Paul Revington.

"Buat masa ini kami memang tidak ada.

"Jawatankuasa dan ahli lembaga akan memutuskan langkah seterusnya dan akan ada berita baru menyusul dalam tempoh seminggu ini."