ACT: Kecederaan paksa Razie lupakan saingan di Oman 

Oleh Penulis Jemputan 4 Oktober 2018 205
ACT: Kecederaan paksa Razie lupakan saingan di Oman 
Skuad hoki negara terpaksa melupakan khidmat pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, setelah pemain itu dilaporkan mengalami kecederaan hamstring menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2018 (ACT) di Oman, bermula18 Oktober ini.

Hari ketiga sesi latihan skuad hoki lelaki negara bersama ketua jurulatih baru, Roelant Oltmans, menyaksikan Razie tidak menyertai rakan sepasukan untuk membuat latihan lasak.

Razie dilanda kecederaan tersebut setelah pulang daripada kejohanan di Darwin, Australia, bulan lalu.

Dia mengakui tidak akan menyertai skuad negara ke Oman demi memberi laluan kepada proses pemulihan untuk menghadapi Piala Dunia di India, hujung bulan depan.

"Saya dalam proses pemulihan kecederaan hamstring. 

"Buat masa ini, saya hanya boleh menjalani fisioterapi dan latihan ringan," katanya.

Ketiadaan Razie bermakna barisan pertahanan hoki negara makin pincang setelah ketiadaan Najmi Farizal Jazlan dan Izad Hakimi Jamaluddin yang menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Namun, ketua pasukan, Sukri Mutalib, yang juga sebahagian daripada tonggak pertahanan yakin barisan muda yang dipilih Oltmans nanti mampu mengisi kekosongan tersebut.

"Di bawah bimbingan jurulatih baru ini, sesi latihan sedikit berlainan tetapi kami akan terus mempamerkan peningkatan dari hari ke hari," kata Sukri.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen