Kemenangan meyakinkan ke atas Jepun meningkatkan keyakinan perancang utama skuad hoki negara, Fitri Saari, dengan kebarangkalian Malaysia mampu menamatkan badi separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT).

Skuad hoki negara berada dalam situasi positif selepas bermula baik di Muscat, Oman.

Kemenangan 3-0 ke atas Jepun meningkatkan keyakinan untuk layak ke final buat kali pertama dalam sejarah kejohanan itu.

"Saya berpendapat Malaysia mampu layak ke final kali ini. Taktikal baru di bawah kendalian (Roelant) Oltmans mampu membentuk persembahan yang berbeza berbanding sebelum ini dan kami mahu memulakannya dengan kejayaan," kata Fitri.

Fitri tidak beraksi di Muscat kerana mahu menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Malaya (UM), Selasa ini.

Penyerang, Faizal Saari mencuri tumpuan apabila meledak dua gol sementara Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil melengkapkan kemenangan Malaysia ke atas Jepun kelmarin.

Halangan terbesar skuad kendalian Oltmans itu ialah juara bertahan, India, selain Pakistan yang hadir ke kejohanan itu selaku juara dua kali ACT.