ACT 2021: Malaysia pilihan kedua layak ke final

Oleh Ammar Hakim 18 November 2020 58
ACT 2021: Malaysia pilihan kedua layak ke final
Undian Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 menyaksikan Malaysia diletak selaku pilihan kedua dalam misi layak ke final.

Pertahanan hoki negara, Muhammad Razie Abd Rahim, berpandangan The Malaysian Hockey Tigers, yang dibarisi beberapa pemain baru kini setaraf Jepun, Pakistan dan Korea Selatan.

Malaysia, ranking ke-11 dunia tidak pernah layak ke final ACT sejak edisi pertama 2011.

Reputasi selaku ranking kedua terbaik Asia di belakang India meningkatkan keyakinan untuk mencipta sejarah walaupun pasukan baru sedang dibina.

Kehadiran beberapa muka baru seperti pertahanan, Syarman Mat Tee, pemain tengah (Pavandeep Singh) dan penyerang (Mohd Firdaus Rosdi) kian serasi dengan pemain senior untuk berdepan ujian pertama.

"Walaupun Jepun membuat persediaan berbanding pasukan lain, saya berasakan semua pasukan seimbang bagi menghadapi sebarang perlawanan," kata Razie.

"Berdasarkan ranking, Malaysia di tangga kedua Asia dan realistik buat kami menyasarkan tempat ke final."

Untuk rekod, Jepun, Pakistan dan Korea Selatan sudah membina pasukan baru sejak beberapa tahun lalu.

India dan Pakistan berkongsi status pasukan paling berjaya dengan tiga kali muncul juara.

"Saya berasakan kami akan menggunakan pendekatan satu perlawanan demi perlawanan. Ini merupakan pertandingan pertama saya bersama pasukan ini," kata ketua jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj.

"Mara ke final adalah bonus, semua mahukan tempat ke final dan memenangi kejohanan. Kami akan menilai kemampuan pasukan lawan selepas senarai pemain yang bakal beraksi dalam ACT kali ini."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen