ACT 2018: Malaysia rangkul tangga ketiga 

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2018 128
ACT 2018: Malaysia rangkul tangga ketiga 
MALAYSIA 3 JEPUN 2 

Skuad hoki negara menewaskan juara Sukan Asia 2018, Jepun, menerusi penentuan pukulan penalti untuk menduduki tempat ketiga Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 di Muscat, Oman, awal pagi tadi.


Ini juga merupakan kemenangan kedua skuad The Malaysian Hockey Tigers ke atas Jepun selepas menumbangkan lawan yang sama 3-0 dalam perlawanan pembukaan, 18 Oktober lalu.

Kejayaan itu secara tidak langsung menyaksikan terpadamnya luka tewas dalam final Sukan Asia Indonesia kepada Jepun, juga dalam penentuan pukulan penalti -- cuma parutnya masih berbekas apabila gagal ke Sukan Olimpik 2020 secara automatik.

Faizal Saari muncul wira apabila dua kali meledak jaringan pada ketika Malaysia ketinggalan sebanyak dua kali melalui gol Kenji Kitazato dan Hirotaka Wakuri.

Dengan kedudukan terikat 2-2, penentuan pukulan penalti menjadi penentu dengan Nik Aiman Nik Rozemi, Norsyafiq Sumantri dan Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil muncul wira untuk membawa kemenangan 3-2 buat negara. 

Lebih manis apabila Faizal dinobat penjaring terbanyak dengan lapan gol sepanjang kejohanan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen