Perancang utama skuad hoki negara, Fitri Saari, memiilih untuk menghadiri majlis konvokesyen selepas melanjutkan pengajian hampir enam tahun di Universiti Malaya (UM) dan terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman, bermula 18 Oktober ini.

Fitri melalui tempoh sukar sejak enam tahun lalu apabila melanjutkan pengajian dalam ijazah sarjana muda sains sukan, mengikuti latihan selain menjadi ketua keluarga.

Oleh itu, perancang utama skuad negara berkenaan memilih untuk menghadiri majlis konvokesyen yang menjadi lambang pengorbanannya dan keluarga.

Realitinya, Fitri jarang digugurkan atas peranan penting bersama Muhammad Marhan Abd Jalil dan Nabil Fiqri Mohd Noor di jentera tengah hoki negara.

"Saya akan menghadiri majlis konvokesyen, jadi saya tidak akan mengikuti kunjungan ke Oman.

"Ia keputusan saya sendiri dan saya sudah memaklumkan mengenainya kepada jurulatih.

"Saya harap rakan-rakan lain boleh menggalas tanggungjawab untuk mengemudi bahagian tengah sebab kempen di Oman juga penting kerana ia menawarkan mata ranking," katanya.

Selain Fitri, skuad negara juga berdepan krisis kecederaan.

Penjaga gol, S. Kumar, dan Mohd Hafizuddin Othman, pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, dan penyerang, Mohd Haziq Shamsul, masih cedera menjelang pengumuman skuad negara esok.

"Untuk mengadakan persiapan singkat sambil mengenali pemain, mengetahui selok-belok sistem permainan dan beberapa perincian mengenai mereka dalam tempoh dua minggu adalah sukar.

"Ia mustahak dan saya akan cuba mengetengahkannya," kata jurulatih negara, Roelant Oltmans.