Tiada kejutan berlaku dalam senarai pemain yang dipilih ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 melainkan penyenaraian semula penjaga gol utama, S. Kumar, yang sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan senarai 18 pemain yang akan membawa cabaran negara di Oman, bermula Khamis depan.

Kumar antara yang turut disenaraikan biarpun sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan tangan ketika sesi latihan di Bukit Jalil.

Bagaimanapun, Oltmans turut membawa Hairi Abd Rahman sebagai pelan B untuk mengawal gawang pasukan negara.

"Dengan adanya Kumar, kehadirannya akan membantu pasukan daripada segi motivasi rakan sepasukan.

"Selaku pemain senior, dia boleh memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain lebih muda. Kami mengharapkan pengalamannya dapat membantu pasukan," kata kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib.

Selain Kumar, turut mencuri perhatian adalah penyenaraian Najib Abu Hassan untuk melengkapkan benteng pertahanan negara yang kehilangan beberapa tonggak seperti Izad Hakimi Jamaluddin dan Najmi Farizal Jazlan.

"Dia seorang pemain yang sangat dedikasi.

"Kehadirannya kali ini adalah satu petanda positif buatnya dan saya berharap dia dapat membuktikan keupayaannya kepada barisan jurulatih," kata Sukri.

Kempen ACT bakal menjadi tugasan pertama jurulatih dari Belanda itu manakala pencapaian Malaysia dalam saingan ini adalah merangkul tempat ketiga dalam empat edisi berturut-turut sejak 2011.