Liga Hoki Oman yang sedang berlangsung di Muscat berjaya menarik perhatian 11 pemain hoki Malaysia, termasuk empat pemain kebangsaan.

Walaupun Oman masih lagi di bawah Malaysia dalam ranking dunia, ia berjaya menarik minat pemain tanah air untuk mendapatkan pengalaman beraksi di luar negara.

Empat pemain kebangsaan, Faizal dan Fitri Saari, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil serta pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, menerima tawaran kelab yang berbeza untuk beraksi di Oman.

Tawaran lumayan merupakan antara tarikan utama -- pemain-pemain ditawarkan RM1,000 hingga RM1,500 untuk setiap perlawanan dan ia tidak termasuk bonus kemenangan.

Secara purata, setiap pemain mampu meraih RM30,000 apabila saingan liga itu berakhir, bulan depan.

Selain daripada tawaran yang lumayan, jadual saingan Liga Oman dan Liga Hoki Malaysia (LHM) tidak bertembung, jadi ia diambil sebagai persiapan mereka untuk menghadapi saingan di Malaysia nanti.

Antara pemain tempatan yang tidak beraksi bersama skuad kebangsaan seperti Kavin Kartik dan Dedy Ariady Jumaidi mampu mendapatkan pengalaman beraksi di luar negara, sekaligus meningkatkan mutu permainan mereka.

Beraksi di Oman dilihat sebagai 'tiket' untuk membuktikan kebolehan serta meyakinkan ketua jurulatih, Stephen Van Huizen, untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

Saingan Liga Oman bukan menyaksikan hanya pemain import dari Malaysia, malah beberapa pemain Pakistan dan India akan turut mengambil bahagian.

Perkara ini boleh dijadikan sebagai peluang buat pemain negara menguji prestasi menjelang saingan Trofi Juara-Juara Asia, Sukan Asia dan Piala Dunia, tahun depan.

Tahun 2018 bakal menjadi tahun yang paling getir buat The Malaysian Hockey Tigers kerana terbabit dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah dan Sukan Komanwel.

"Di Oman nanti, Kelab Al-Nasr akan memberikan tentangan kepada kami. Kehadiran pemain kebangsaan Malaysia, Tengku Ahmad Tajuddin, akan memberikan saingan yang sengit," kata pemain Kelab Al-Seeb, Fitri Saari.

"Kehadiran ramai pemain kebangsaan Oman yang bakal beraksi merupakan peluang untuk kami mendapatkan pengalaman beraksi di sana," kata pemain Kelab Al-Nasr, Tengku Ahmad Tajuddin.

"Sebelum ini, saya pernah mendapat tawaran beraksi di Itali. Cabaran di Oman mampu meningkatkan mutu permainan saya," kata pemain Kelab Al-Seeb, Syamim Yusof.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi, menyifatkan kehadiran pemain-pemain kebangsaan beraksi di Oman mampu meningkatkan mutu skuad kebangsaan mereka.

"Pemain-pemain negara dapat membantu sukan hoki Oman. Ia merupakan satu inisiatif yang bagus daripada Oman mendapatkan pemain-pemain beraksi di sana kerana hoki Malaysia berada pada tahap yang lebih tinggi," katanya.