Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, mengakui kejayaan menewaskan juara dunia, Joelle King dan Amanda Landers-Murphy, melonjakkan keyakinannya untuk melangkah jauh dalam saingan beregu wanita di pentas Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Sivasangari dan gandingannya, Rachel Arnold, membuka tirai Kumpulan A dengan menentang Joelle dan Amanda dari New Zealand.

Di atas kertas, beregu negara dijangka berdepan kesukaran menentang pemenang pingat emas kejohanan beregu dunia di Darwin 2016 dan Manchester 2017 itu.

Bagaimanapiun, Sivasangari dan pasangannya tampil membuat kejutan apabila melakar kemenangan 11-10, 11-10 dalam masa 24 minit.

"Kami telah berlatih dan berusaha keras bersama-sama. Kami juga menonton banyak video mengenai lawan, ia sangat membantu. Jadi, keyakinan kami meningkat.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh alpa kerana lawan seterusnya adalah dari Australia. Mereka beraksi di tempat sendiri, tentu ia tidak mudah. Kami harus berada di tahap terbaik," katanya.

Mereka akan bertemu wakil tuan rumah dalam perlawanan kedua dan kemenangan semestinya menjamin laluan selesa untuk mara ke pentas final.

Untuk rekod, Malaysia belum pernah memenangi pingat dalam acara beregu wanita sejak skuasy mula dipertandingkan dalam Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.