Datuk Nicol David mengelak sebarang sensasi tidak diingini dalam Sukan Komanwel Gold Coast apabila memulakan kempen mempertahankan pingat emas perseorangan wanita dengan langkah kanan, hari ini.

Bagaimanapun, prestasi tidak menentu ratu skuasy wanita Malaysia itu kekal sebagai kegusaran kontinjen negara yang tetap menyasarkannya untuk menyumbang emas.

Ketika menentang Colette Sultana dari Malta dalam pusingan pertama, Nicol mudah menepati ramalan apabila menang straight set 11-1, 11-4, 11-2.

"Ia lebih kepada menikmati aksi di sini, mewakili Malaysia buat kali keenam. Saya hanya mahu memberikan segala-galanya.

"Anda boleh lihat mereka berusaha keras bersama-sama untuk mempersiapkan diri. Saya juga teruja melihat penyertaan negara baru ke Komanwel dan menentang mereka.

"Saya gembira memenangi aksi pertama untuk berdepan perlawanan seterusnya," kata Nicol.

Dalam laluan ke suku akhir, Nicol perlu mengatasi wakil Kanada, Samantha Cornett, lawan yang tetap dihormati Nicol biarpun kemenangan mudah dijangka memihaknya.

"Saya akan menentang Samantha Cornett dan ia tentunya akan menjadi aksi yang menarik kerana saya hanya mahu mempamerkan persembahan yang terbaik," tambahnya.