Walaupun gagal mengulangi pencapaian pingat emas dalam dua edisi Sukan Komanwel sebelum ini, skuad skuasy negara tetap melakar keputusan positif dalam temasya Gold Coast 2018 menerusi kemampuan pemain muda bersaing di pentas lebih besar.

Skuad negara terpaksa berpuas hati membawa pulang satu gangsa menerusi Nafiizwan Adnan dalam acara perseorangan lelaki.

Ia disebabkan prospek utama, Datuk Nicol David, gagal mempertahankan emas perseorangan wanita yang dimenanginya di New Delhi 2010 dan Glasgow 2014.

Bagaimanapun, di sebalik kegagalan Nicol, pemain-pemain muda menunjukkan aksi meyakinkan dalam penampilan sulung masing-masing dalam temasya empat tahun sekali itu.

Tatkala gandingan S. Sivasangari-Rachel Arnold berjaya mengalahkan juara beregu dunia 2016 dan 2017 dari New Zealand sebelum tewas di suku akhir, beregu lelaki, Syafiq Kamal-Ng Eain Yow pula hampir mengejutkan juara beregu dunia 2016 dari Scotland sebelum turut tersingkir dalam suku akhir.

"Saya rasa bangga untuk mengatakan bahawa pemain beregu lelaki dan wanita telah menundukkan juara dunia dan barisan pemain elit.

"Mereka masih mempunyai tugas yang perlu diselesaikan sebelum memenangi lebih banyak aksi dalam kejohanan bertaraf dunia seperti Sukan Komanwel," kata Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam.

Temasya edisi ke-21 itu juga menajdi pendedahan berharga buat pemain remaja, Aifa Azman, walaupun dia dan gandingannya, Sanjay Singh, terkandas dalam beregu campuran di peringkat 16 terakhir.

Apa yang pasti, pencapaian Nafiizwan memahat sejarah tersendiri selaku pemain lelaki pertama menyumbang pingat tetap boleh dibanggakan meskipun kegagalan Nicol tetap menyedihkan dalam penampilan yang mungkin menjadi aksi terakhir legenda negara itu dalam Sukan Komanwel.

"Ini adalah satu fakta. Dia sudah banyak berkorban untuk negara dan sering membawakan keputusan yang cemerlang tetapi tidak bernasib baik pada kali ini.

"Dalam masa sama, pemain seperti Sivasangari sudah bersedia untuk mengikut jejak langkah Nicol. Saya rasa kita akan dapat melihat perkembangannya dalam saingan Komanwel yang akan datang."