"Saya tidak tahu apa yang terjadi." Itu reaksi perenang negara, Welson Sim, sejurus tamat final acara 400 meter gaya bebas hari ini apabila catatan masa yang dilakukannya tersasar jauh daripada rekod kebangsaan miliknya.

Welson sememangnya mampu melakukan lebih baik daripada catatan 3 minit 53.36 saat memandangkan dia memegang rekod kebangsaan dengan catatan 3:49.48s.

Walaupun mampu memberi saingan di peringkat awal, Welson bagaimanapun tercicir menuju jarak 200m terakhir untuk menduduki tempat ketujuh.

Acara itu diungguli dua perenang sensasi Australia, Mack Horton dan Jack McLoughlin.

"Catatan masa saya sangat buruk, ia sangat perlahan berbanding pagi ini. Saya tidak tahu apa yang berlaku.

"Saya hanya fokus kepada aksi sendiri dan memikirkan cara untuk mempercepatkan kayuhan renang tetapi segalanya tidak menjadi. Perjalanan masih jauh buat saya," ujar Welson.

Seorang lagi wakil negara yang turun berentap dalam saingan final, Tian Jin Ping, bagi acara renang para menyaksikan dia melakar rekod peribadi terbaik acara 200m gaya bebas kategori S14 dengan catatan 2:20.93s untuk menghuni tempat ketujuh.