Program latihan serta pertandingan di luar negara menjadi antara perancangan jurulatih olahraga kebangsaan, M. Balamurugan, dalam mempersiapkan Zaidatul Husniah Zulkifli bagi menghadapi saingan Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Cabaran Zaidatul dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 tersekat dalam separuh akhir acara 100 meter selepas menduduki tempat ketujuh dengan catatan 11.84 saat.

Bagaimanapun, dia tetap boleh berasa bangga kerana menjadi atlet olahraga ketiga untuk menjejakkan kaki ke separuh akhir selepas Tan Sri Dr M. Jegathesan dan G. Shanti melakukannya sebelum ini.

Bagi Balamurugan, tumpuan buat atlet berusia 24 tahun itu selepas ini adalah Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung bulan depan.

Dia juga menginginkan Zaidatul untuk mendapat pengalaman berlatih di luar negara sebelum ke Sukan Asia.

"Selepas Komanwel, saya sudah menyediakan perancangan untuknya. Kini, kami bakal berdepan Terbuka Malaysia pada Mei. Selepas itu, saya bercadang untuk menghantarnya ke luar negara dan beraksi dalam kejohanan di sana," katanya.

Secara keseluruhan, Balamurugan berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh anak didiknya itu walaupun catatannya dalam separuh akhir lebih perlahan berbanding 11.64s yang dilakukan ketika sesi saringan.

Baginya, beberapa faktor memainkan peranan dalam mempengaruhi perbezaan catatan yang dilakukan anak didiknya dalam kedua-dua larian berkenaan.

"Atlet Malaysia masih belum biasa dengan tempoh pendek (dua jam) untuk pulih bagi menghadapi aksi seterusnya selepas memberikan aksi maksimum ketika saringan. Keadaan sejuk dan hujan juga memberikan masalah buatnya.

"Itu sudah dapat dilihat ketika berada di Afrika Selatan," tambahnya.