Bahang temasya Sukan Komanwel XXI kian terasa apabila sukan terjun dan hoki negara menjadi pasukan pertama berlepas ke Gold Coast dengan membawa satu matlamat yang sama, iaitu untuk mencipta kejayaan buat negara.

Skuad hoki lelaki dan wanita negara serta sembilan penerjun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), semalam, kira-kira jam 7 malam.

Mereka hadir bersama keluarga sebelum meninggalkan Malaysia demi sebuah harapan di pentas Gold Coast 2018.

Menjadi antara skuad pertama untuk ke Gold Coast memberi satu keterujaan berbeza kepada mereka yang menganggap saat yang dinanti-nantikan telah pun tiba dengan membawa semangat rakyat Malaysia ke sana.

Beberapa atlet sempat ditemubual bagi mendapatkan ulasan mengenai temasya Gold Coast 2018 yang semakin hampir membuka tirainya pada 4 April ini.

"Ini (berlepas awal) mungkin menjadi pembakar semangat untuk saya dan pasukan. Terima kasih kepada keluarga yang datang dari jauh untuk memberikan sokongan," kata pemain hoki, Faizal Saari.

"Sudah tentu, saya berasa berdebar-debar kerana perlawanan pun semakin hampir, sekitar 10 hari atau dua minggu lagi. Saya begitu teruja dan ia baik untuk kami," kata kapten pasukan hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani.

Sementara itu, penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman, berkata: "Setiap negara ada peningkatan, begitu juga dengan Malaysia. Saya pun tidak sabar untuk beraksi nanti."

Skuad hoki lelaki negara akan memulakan saingan Sukan Komanwel menentang England pada 6 April sementara pasukan wanita akan bertemu India pada hari yang sama.

Sementara itu, acara terjun yang menawarkan 10 emas akan diadakan dari 11 hingga 14 April nanti.