Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen, tidak mahu prestasi kurang konsisten pasukannya ketika Piala Sultan Azlan Shah, bulan lalu, berulang dalam usaha mencuri slot ke separuh akhir Sukan Komanwel Gold Coast, bermula esok.

Setelah tiga aksi persahabatan, termasuk perlawanan terakhir bertemu Australia di Pusat Hoki Gold Coast, Van Huizen masih bimbang dengan persembahan tidak menentu yang dipamerkan The Malaysian Hockey Tigers.

Dalam perlawanan itu, jentera skuad negara sedikit lesu walaupun tewas 0-2 dalam aksi yang hanya berlangsung selama 45 minit.

Prestasi pemain dilihat sedikit berbeza ketika melakar kemenangan dalam dua perlawanan terdahulu menentang New South Wales, sekali gus memberi bayangan masalah sama dalam Piala Sultan Azlah Shah boleh terjadi.

"Apabila pemain bermain baik, kami boleh mendapatkan hasil yang baik. Tetapi, kadang-kadang kami hilang fokus seperti berlaku ketika menentang England dalam Piala Sultan Azlan Shah, di mana kami dibolosi tiga gol dalam tempoh lima minit pada suku pertama.

"Dan dalam suku kedua, kami tidak benarkan mereka jaringkan gol dan dalam separuh masa kedua dapat lagi gol. Kami harus tajam pada setiap minit dan bermain fasa demi fasa," katanya.

Sementara itu, pemain tengah, Mohammad Fitri Saari, hanya melihat penyesuaian diri bermain pada waktu pagi sebagai cabaran utama kepada Malaysia.

"Saya rasa kami sudah sesuaikan diri dengan cuaca di sini sebab ia hampir sama di Malaysia.

"Cuma, kami tidak biasa dengan perlawanan pada sebelah pagi. Kami selalu bermain pada waktu malam," katanya.