Ketiadaan juara Sukan Komanwel Glasgow 2014 dari England masih belum melegakan jurulatih gimnastik artistik negara, Ng Shu Wai, dalam memastikan anak buahnya mampu meraih pingat di Gold Coast, bermula Khamis ini.

Claudia Fragapane, yang merupakan atlet paling mencuri tumpuan apabila membolot empat emas di Glasgow pada usia 16 tahun, tidak menyertai temasya Gold Coast 2018 kerana mengalami kecederaan buku lali dan diketepikan pada saat-saat akhir.

Shu Wai, bagaimanapun, menganggap ketiadaan Fragapane langsung tidak memberi bonus kepada skuad negara kerana pemenang pingat perak Kejohanan Dunia tahun lalu, Ellie Black dari Kanada, tidak kurang hebatnya untuk menguasai karpet hijau di Pusat Sukan Tertutup Coomera kali ini.

Kekurangan yang masih ada dalam diri anak buahnya adalah dalam aspek kekemasan dan konsistensi, di mana pencabar dari England dan Kanada khususnya sering menampilkan peningkatan lebih baik.

"Atlet England (Fragapane) yang kuat tidak datang tetapi atlet dari Kanada (Black) yang juga juara dunia hadir. Selain itu, atlet dari Australia juga sangat kuat.

"Sebenarnya, rutin mereka dengan kami tidak banyak beza, cuma mereka lebih kemas sedikit berbanding kami," kata Shu Wai.

Shu Wai selaku penyumbang pingat perak di pentas Komanwel Melbourne 2006 ingin memastikan barisan atlet fokus untuk mara ke final terlebih dahulu sebelum mengharapkan pingat bagi acara berpasukan.

"Saya rasa, kami hanya perlu melakukan yang terbaik. Kami juga membuat persediaan yang baik dan saya harap kami boleh memberikan persembahan terbaik.

"Bagi saya, dalam gimnastik ini tidak boleh kata peluang ada 100 peratus. Kami tidak boleh berada dalam tekanan," katannya lagi.