Perenang sensasi negara , Welson Sim Wee Sheng, menyifatkan keadaan angin kuat di Gold Coast sebagai cabaran utama buat dirinya mempamerkan renangan terbaik dalam Sukan Komanwel.

Acara renang dan terjun akan diadakan di Pusat Akuatik Gold Coast, dengan venue tersebut akan menjadi cabaran getir kepada semua atlet yang bertanding termasuk wakil negara.

Welson berkata ia kerana mereka akan bersaing dalam angin kuat memandangkan venue itu merupakan kolam renang terbuka.

"Setakat ini, semuanya berjalan lancar, cuma ada sedikit (masalah) dengan keadaan angin yang kuat.

"Kami akan tahu nanti kerana semua perenang berdepan masalah sama. Aksi melawan angin sentiasa memberikan masalah," katanya.

Welson akan memulakan aksi pertamanya esok, iaitu dalam acara 400m gaya bebas dengan misi mencipta rekod kebangsaan atau memperbaiki catatan peribadi.

Bagaimanapun, acara 200m gaya bebas menjadi taruhan terbaiknya untuk pemburuan pingat.