Keajaiban seragam Amirul Hamizan Ibrahim menyaksikan skuad angkat berat negara mencipta kebanggaan di Gold Coast 2018 menerusi kilauan dua pingat emas dan satu gangsa untuk memperbaiki pencapaian empat tahun lalu di Glasgow, Scotland.

Skuad angkat berat negara membariskan seramai 10 atlet untuk cabaran Sukan Komanwel edisi ke-21 di Gold Coast.

Pada awalnya, harapan kilauan emas hanya diletakkan kepada Azroy Hazal Wafie Izhar dalam kategori 56 kilogram, susulan jaguh angkat berat negara, Hafifi Mansor, digugurkan ekoran gagal ujian doping.

Azroy menepati ramalan emas, namun bonus kilauan emas tambahan yang tidak dijangka dijelmakan Aznil Bidin dalam kategori 62kg.

Apa yang menarik, kedua-dua atlet itu menggunakan pakaian sama sewaktu Amirul meraih emas dalam Sukan Komanwel Manchester 2002.

Pencapaian itu membolehkan skuad angkat berat negara memperbaiki kutipan satu emas dan satu perak di Glasgow, empat tahun lalu.

"Saya rasa pencapaian kali ini sangat baik. Jika dilihat daripada segi pencapaian atlet, mereka meningkat dengan bagus.

"Jadi, saya rasa ia satu pencapaian terbaik buat negara," kata jurulatih angkat berat negara, Nicholos Wong Chee Yen.

Skuad angkat berat negara juga merangkul satu gangsa menerusi Fazrul Azrie Mohdad dalam kategori 82kg.

Lima rekod kebangsaan turut diperbaharui di Gold Coast, masing-masing menerusi Aznil, Jabriella Teo Samuel (75kg wanita) dan Siti Aishah Md Rosli (90kg wanita).

"Kami memerlukan angkat berat untuk dijadikan sukan teras bagi mencari kelompok pelapis. Saya rasa ia boleh menjadi peluang terbaik untuk Malaysia di masa akan datang," tambahnya.