Atlet angkat berat negara, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, mengakui idolanya, Amirul Hamizan Ibrahim, banyak membantunya sehingga melakar kejayaan bersejarah di Gold Coast.

Sementara itu, Amirul Hamizan pula tidak berkecil hati rekod Sukan Komanwel miliknya lebur di tangan Azroy, malah berbangga kerana penantian 16 tahun itu berakhir di depan matanya, hari ini.

Azroy menyumbang emas pertama negara di Australia dengan penuh bergaya.

Dia menjulang angkatan 261kg untuk mengatasi rekod milik Amirul, 260kg, yang dilakukannya pada edisi 2002 di Manchester.

Selain memperbaharui rekod temasya, dia turut mencipta rekod baru dalam acara snatch dengan 117kg, memadamkan rekod lama berusia lapan tahun juga milik Amirul, 116kg, yand dilakar di New Delhi pada 2010.

"Bagi saya, ia satu tuah kerana baju yang diberi Amirul itu pernah dilihat tergantung di kedai ibunya. Saya pernah memberitahunya untuk menggunakan baju tersebut jika diberi peluang beraksi dalam Sukan Komanwel. Dia benarkan dengan syarat cipta rekod baru.

"Saya meneruskan latihan dan mahu memperbaharui rekod kebangsaan. Kini, ia sudah terbukti," kata Azroy.

"Saya mengharapkan jasa baik Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, agar memasukkan semula sukan angkat berat dalam kategori sukan teras. Banyak lagi bakat baru yang mungkin perlu diberi peluang kerana saya sudah membuktikannya."

Malah, Amirul turut memuji semangat juang tinggi Azroy untuk beraksi biarpun terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan lutut kanan seminggu sebelum ke Gold Coast.

"Secara peribadi saya berbangga kerana ini yang saya inginkan sejak dulu. Sudah terlalu lama sebenarnya rekod ini, iaitu pada 2002.

"Azroy ada meminta untuk memecahkan rekod clean and jerk 146kg tetapi ia terlalu tinggi, jadi lebih baik dia memecahkan rekod keseluruhan," tambah Amirul.

Sehubungan itu, chef-de-mission (CDM) Malaysia, Huang Ying How, percaya kejayaan Azroy meraih emas pertama negara dalam Sukan Komanwel mampu menjadi rangsangan terbaik kepada atlet lain untuk menjelmakan kilauan emas seterusnya dalam temasua kali ini.

"Ini akan memberikan lebih galakan buat atlet-atlet kita untuk berjaya dan hari ini masih ada atlet yang beraksi. Ia bagus untuk Malaysia," kata Ying How.

Menariknya, kejayaan Azroy hari ini membolehkan skuad angkat berat kekal sebagai penyumbang emas pertama negara selepas Hafifi Mansor melakukannya di Glasgow pada 2014.

Selain angkat berat, sandaran emas kontinjen negara turut digalas beberapa sukan lain seperti terjun, berbasikal dan badminton.

"Pencapaian ini sesuatu yang baik untuk negara kita dan diharap kita dapat mengatasi kutipan di Glasgow 2014. Semua atlet akan cuba yang terbaik," kata jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei.