Atlet angkat berat negara, Muhammad Aznil Bidin, cemerlang menghadiahkan pingat emas kedua menerusi kategori 63kg di Carrara Sports and Leisure Centre hari ini yang turut menyaksikan atlet kelahiran Kedah itu mengambil semangat bekas wira negara, Amirul Hamizan Ibrahim.

Aznil mengenakan seragam yang terdahulu dipakai Mohd Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad ketika menjuarai kategori 56kg.

Seragam itu milik Amirul yang dipakainya ketika meraih emas Sukan Komanwel Manchester 2002.

"Saya mengharapkan tuah baju Amirul, mungkin ada rezeki pada hari ini. Saya minta daripada Azroy untuk menggunakannya," kata Aznil.

Aznil memberi kejutan yang cukup bermakna buat kontinjen negara menerusi angkatan 126kg dalam snatch dan 162kg dalam clean and jerk untuk jumlah angkatan keseluruhan 288kg.

Kejayaan itu sekali gus membuatkan pencabarnya dari Papua New Guinea, Morea Baru, tertunduk kecewa berikutan angkatan keseluruhannya dipisahkan 3kg dengan pemenang manakala wakil Pakistan, Talha Talib, terpaksa berpuas hati dengan gangsa menerusi angkatan 283kg.