Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan tujuh rakan penaja rasmi bagi memperkasa Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2020 yang akan membuka tirai Sabtu ini.

Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail, selaku pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM berkata tujuh rakan penaja tersebut adalah Yoodoo, Joma, 100Plus, Astro, Firefly, Kaki Jersi dan Cuckoo.

Beliau menjelaskan badan induk bola sepak negara itu menghargai sokongan diberikan kesemua rakan penaja terutama empat penaja yang melanjutkan penajaan buat musim kedua berturut-turut sejak edisi sulung pada 2019.

“Kemeriahan edisi sulung MPFL 2019 membuatkan rakan-rakan penaja kita bersetuju untuk menyambung penajaan bagi musim kedua. Mereka (penaja) berpuas hati apabila jenama mereka turut sama dipaparkan pada setiap perlawanan.

“Diharap dengan kehadiran tiga rakan penaja baharu dapat menghangatkan lagi saingan musim kedua MPFL,” katanya dalam Majlis Pelancaran MPFL 2020 di Wisma FAM di Kelana Jaya, di Petaling Jaya, hari ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menyempurnakan majlis itu yang turut dihadiri barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM serta wakil pasukan bertanding.

Saingan MPFL 2020 turut menyaksikan penambahan empat pasukan baharu iaitu Sarawak, Kelantan, Negeri Sembilan dan KPM-PST Mustangs sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 12 pasukan bertanding.

“MPFL 2020 akan lebih kompetitif dan sengit dengan penambahan pasukan dan jumlah perlawanan serta pengenalan kuota seorang pemain import bagi setiap pasukan yang sudah tentu akan menjadikan permainan lebih menarik,” tambah Rosmadi.

Lapan pasukan terbaik MPFL 2020 layak untuk beraksi merebut gelaran juara Piala Futsal Malaysia yang dijadual berlangsung pada penghujung Oktober depan.

Selangor muncul juara MPFL 2019 sementara Pahang dan Perak masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

-- BERNAMA