Skuad futsal Terengganu FC (TFC) terpaksa akur dengan pembatalan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim ini walaupun baru satu perlawanan diadakan, Mac lalu.

Jurulatihnya, Mohd Rozairi Ahmad, berkata keputusan itu dianggap yang terbaik demi keselamatan semua biarpun MPFL pernah berada dalam perancangan untuk diteruskan.

Barisan pemain TFC jelasnya setiap hari menunggu khabar gembira daripada badan induk bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk kembali ke gelanggang dan memulakan latihan.

Berita pembatalan saingan MPFL, begitupun, menyaksikan semalam menjadi hari terakhir mereka berlatih dari rumah masing-masing sebelum membuat perancangan seterusnya.

"Selepas mengharungi musim 2018 yang baik, barisan pemain saya begitu teruja dengan saingan musim ini, termasuk enam pemain baru.

"TFC juga bermula langkah kanan dalam aksi pembukaan dan semakin bersemangat selepas itu.

"Namun, saya yakin FAM tidak sewenang-wenangnya bertindak dan keputusan ini dibuat bagi melindungi keselamatan dan kesihatan semua.

"Kini terpulang kepada persatuan untuk menyelesaikan isu kontrak pemain dan kami mungkin kembali selepas keadaan pulih," kata Rozairi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)