Pasukan tangga ketiga 2019, Terengganu, berharap Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) turut diberi peluang seperti sukan bola sepak untuk diteruskan saingannya musim ini.

Ketua jurulatih, Mohd Rozairi Ahmad, berkata status penganjuran MPFL masih samar tatkala tarikh Liga Malaysia (Liga M) lebih rancak dibincangkan ketika ini iaitu pada September.

Nasib kejohanan kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu menurutnya difahamkan akan diketahui bulan depan sama ada mendapat lampu hijau untuk diteruskan.

Justeru Rozairi menaruh harapan pasukan MPFL juga dibenarkan beraksi meskipun menjangkakan berdepan kekangan antaranya masa dan venue pertandingan.

"Memang di pihak pemain dan jurulatih, kami berharap saingan liga futsal ini dapat disambung kerana baru satu perlawanan sempat diadakan.

"Jika ada prosesur operasi standard (SOP) daripada pihak berkuasa, saya rasa semua pasukan bertanding akan bersetuju dan pikul tanggungjawab itu," jelasnya.

Sebanyak 12 pasukan berentap dalam MPFL musim ini menyaksikan hanya aksi pembukaan 15 Mac lalu berlangsung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Dalam perlawanan pertama itu, Terengganu bermula langkah kanan selepas membelasah Kedah, 10-3, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)