Terengganu, Kelantan lulus ujian pertama

Oleh Tengku Danish Bahri 15 Mac 2020 2322
Terengganu, Kelantan lulus ujian pertama
Terengganu tidak berdepan masalah untuk membenam Kedah 10-3 dalam aksi pembukaan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.

Pesta gol tuan rumah dimulakan Syed Shahrul Niezam Syed Abdul Rahim pada minit kelima disusuli jaringan tonggaknya, Hafiz Ismail, dua minit kemudian.

Kedudukan menjadi 3-0 selepas Alif Mat Amin membuka akaun jaringannya musim ini pada minit ke-13 sebelum Terengganu menambah empat lagi gol.

Hafiz dan Alif masing-masing melengkapkan hatrik menerusi gol pantas pada minit ke-15 dan ke-19 untuk membawa kelebihan 7-0 sehingga tamat separuh masa.

Syed Shahrul kemudian menjaringkan gol kedua peribadi dan Kedah semakin tertekan apabila Terengganu mendahului 10-0 melalui Aizat Saari (m-28) dan Amirrul Izzad Adang (m-33).

Gol saguhati pelawat hanya terhasil menerusi jaringan Hafizi Marzuki pada minit ke-33, Anwar Osman dan Fikri Rodzi pada minit ke-34.

Turut berlangsung selepas itu di venue sama adalah pertemuan pendatang baharu, Kelantan dan KPM PST Mustangs yang memihak Kelantan, 4-1.

Ketinggalan hasil jaringan Adam Arieff pada minit ke-11, Kelantan bangkit menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi jaringan Aqim Salihuddin.

Nur Luqman Yaakob (m-15) dan Aqil Khalis Adli Khairuz (m-19) seterusnya melebarkan kedudukan 3-1 sehingga bersambung babak kedua.

Kemenangan Kelantan dilengkapkan dengan gol kedua peribadi Nur Luqman pada minit ke-29 dan kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat.

Kredit foto: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen