Terengganu gembira FAM tidak sisihkan futsal

Oleh Tengku Danish Bahri 26 Mei 2020 83
Terengganu gembira FAM tidak sisihkan futsal
Jurulatih futsal Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad, menyambut baik usaha meneruskan baki saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim ini.

Menurutnya, tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menyisihkan MPFL dalam rayuannya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah langkah tepat.

Malah, jaminan diberikan FAM bahawa tiada rombakan besar-besaran kepada jadual pertandingan MPFL juga satu kelegaan serta signal positif saingan itu dapat diteruskan.

"Perkembangan ini satu berita baik buat pasukan-pasukan MPFL sekiranya format asal dikekalkan.

"Mungkin jadual akan menjadi padat dan ada masalah venue tapi saya fikir semua itu dapat diatasi.

"Terengganu sedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikenakan dan berharap saingan MPFL dapat diteruskan," katanya.

FAM pada Ahad lalu mengesahkan MPFL turut termasuk dalam rayuan kepada MKN bersama-sama Liga Malaysia (Liga-M) untuk disambung aksinya pada September depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, membayangkan tiada rombakan besar-besaran kepada jadual pertandingan jika mendapat lampu hijau untuk diteruskan.

"Tidak seperti bola sepak, futsal boleh dimainkan setiap hari atau setiap dua hari seperti kejohanan antarabangsa," katanya lagi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen