Selepas ura-ura saingan Piala Presiden dan Piala Belia bakal ditamatkan musim ini, wujud kebimbangan bagi Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) yang masih tiada kepastian mengenai statusnya.

Saingan MPFL hanya sempat berlangsung satu perlawanan sahaja musim ini Mac lalu.

Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan gara-gara penularan wabak Covid-19, tiada sebarang makluman dikeluarkan mengenai hala tuju liga itu.

Jika mengikut jadual dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga MPFL sepatutnya sudah memasuki minggu kesembilan saingan daripada 22 minggu yang dipertandingkan.

"Mungkin September saingan akan bersambung semula, namun ia bergantung dengan mesyuarat yang dilakukan pada bulan hadapan," kata kapten Pahang Rangers FC, Khairul Effendy Bahrin.

"Kami telah berbincang dengan pemain dan pihak pengurusan, perkara yang lebih penting harus menjadi keutamaan," kata ketua jurulatih Selangor Addy Shairullyzam Shafiee.

Difahamkan, ketika ini FAM masih membuat rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan Liga Malaysia termasuk saingan futsal bersambung semula selepas permohonan mereka sebelum ini tidak diluluskan.