Rahimi korban masa keluarga demi negara

Oleh Bernama 4 Mei 2020 62
Rahimi korban masa keluarga demi negara
Berjauhan dengan keluarga bagi menunaikan tanggungjawab kepada negara merupakan pengorbanan besar yang terpaksa dilalui penjaga gol skuad futsal Pahang Rangers, Rahimi Shatar, yang sudah hampir dua bulan ‘terpisah’ dengan dua anak dan isterinya.

Anak jati Pasir Puteh, Kelantan itu yang berkhidmat sebagai anggota bomba di Balai Bomba Kuantan, Pahang berkata berjauhan dengan keluarganya adalah penyelesaian terbaik memandangkan beliau turut terlibat sebagai petugas barisan hadapan yang diamanahkan menjaga keselamatan awam sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Bekas pemain fustal kebangsaan itu mengakui terpaksa mengetepikan rasa rindu kepada anggota keluarga serta ibu bapanya di Kelantan bagi memastikan dirinya dapat menjalankan tanggungjawab terbaik selaku anggota bomba.

“Apa pun saya perlu banyak bersabar, cuba positif fikir ini untuk kebaikan mereka, kebaikan orang ramai. Saya ikut arahan MKN (Majlis Keselamatan Negara), tak boleh rentas negeri.

“Semua ini untuk kebaikan, memang perancangan untuk balik ambil anak isteri itu ada, kalau saya dapat balik sekali pun, saya kena fikir apa jadi kalau saya adalah pembawa virus dengan kerja saya sebagai bomba terdedah kepada risiko. Saya tidak boleh pentingkan diri, jadi demi keluarga dan orang ramai, saya anggap ini satu pengorbanan,” jelas Rahimi dalam kenyataan dikeluarkan pasukan berkenaan hari ini.

Mengulas mengenai tugasan hariannya, Rahimi berkata jabatan bomba di Kuantan mengadakan sanitasi awam di beberapa tempat yang dikenal pasti berisiko mempunyai wabak COVID-19 sejak hujung bulan lepas dan diteruskan sehingga bulan Ramadan. 

Bekas pemain Piala Presiden Kelantan itu sebelum ini pernah mengumumkan persaraan sebagai pemain pada hujung 2018, sebelum dilantik sebagai jurulatih penjaga gol Pahang Rangers sejak tahun lepas.

Rahimi, bagaimanapun, membuat penampilan semula dalam saingan futsal tempatan susulan kecederaan dialami dua penjaga gol pasukan berkenaan, Afiq Abd Rahman dan Zainulzahin Sinuan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen