Pasukan futsal Perak berpeluang menimba pengalaman dan pendedahan di peringkat antarabangsa dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan New Caledonia di Pusat Futsal Sportizza, Klang, Selasa ini.

Pengurus pasukan, Wan Fadzli Izam Wan Zulkifli, berkata pihaknya menerima surat kelulusan daripada Konfederasi Bolasepak Oceania (OFC) yang dipanjangkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengadakan perlawanan antarabangsa peringkat kedua itu semalam.

Perlawanan itu akan menjadi medan persiapan Perak untuk menghadapi suku akhir Piala Malaysia Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) bulan depan.

"Perlawanan ini pentas terbaik untuk pemain Perak menimba pengalaman dan membantu Perak membuat persiapan untuk menghadapi Piala Malaysia kerana kami akan bertemu pasukan kebangsaan negara asing.

"New Caledonia juga sedang dalam persiapan untuk membentuk pasukan bagi menyertai Kejohanan Futsal OFC hujung bulan ini," katanya.

Beliau, yang juga ahli majlis Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), menambah pasukan New Caledonia itu juga akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Pahang dan skuad kebangsaan Malaysia.