Jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, percaya barisan 14 pemain yang akan membawa cabaran dalam kejohanan Futsal Antarabangsa di Thailand mampu menghadirkan tentangan hebat tatkala dua pasukan handalan membuat keputusan untuk menarik diri.

"Majoriti pemain senior akan terbabit dalam kunjungan kali ini di samping tiga pemain muda (Muhammad Syawal Sabaruddin, Muhammad Fariq Mohammad dan Muhammad Saad Abdul Sani).

"Ini adalah salah satu pendedahan buat mereka dan dalam masa sama, saya ingin melihat bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dalam kejohanan antarabangsa," katanya di Wisma FAM sebelum bertolak ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Begitupun, Turkmenistan dan Kuwait menarik diri pada saat-saat akhir sementara Myanmar dan Thailand B hadir sebagai pasukan gantian.

"Saya percaya (tindakan Turkmenistan dan Kuwait) ada kena-mengena dengan wabak koronavirus.

"Tetapi ia tidak akan mengubah persiapan kami yang tetap menyasarkan separuh akhir.

"Kami akan mengharungi pertemuan getir berdepan Thailand dalam perlawanan pembukaan sebelum menentang Myanmar.

"Saya percaya kami sudah bersedia untuk menghadapi mereka," tambahnya.

Chun Yong mengharapkan pendekatan corak permainan yang baru mampu menghasilkan keputusan positif.

"Selain menyasarkan tempat ke separuh akhir, saya mahu melihat sejauh mana pemain negara dapat menterjemahkan corak permainan baru yang diterapkan.

"Ini tumpuan utama saya dan ia menjadi persiapan buat kami menghadapi Kejohanan Futsal AFC yang akan datang."



Editor: Shaiful Shamsudin