Senarai akhir 14 pemain negara bagi menghadapi Kejohanan Futsal AFF 2019 akan diumumkan selepas dua aksi persahabatan antarabangsa menentang New Caledonia esok dan Rabu ini di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam.

Ketua jurulatih skuad futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong, berkata perlawanan itu merupakan persiapan terakhir skuad negara sebelum berlepas ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam 19 Oktober ini bagi menghadapi saingan kejuaraan itu.

"Bertemu New Caledonia, saya akan fokus kepada tahap prestasi dan kesediaan mereka daripada segi mental dan fizikal supaya dalam keadaan terbaik sebelum ke Vietnam," katanya.

Mengenai Kejuaraan Futsal AFF 2019 yang dijadualkan dari 21 hingga 27 Oktober ini, Chun Yong mengakui Malaysia perlu berusaha keras apabila diundi dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan tuan rumah, Vietnam, Australia dan Indonesia.

Namun, beliau enggan meletakkan tekanan ke atas anak buahnya dan mahu mereka fokus terhadap perlawanan pertama terlebih dahulu.

"Kami akan menghadapinya satu persatu. Kemenangan awal sangat penting untuk beri motivasi kepada pemain bagi perlawanan seterusnya. Memang tidak dinafikan, saingan akan sengit.

"Kami akan berdepan Indonesia 21 Oktober ini, selepas itu Australia (22 Oktober) yang buat kemunculan kembali selepas dua tahun tidak beraksi dan Vietnam (23 Oktober), yang sudah pasti mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri dengan ramai penyokong tempatan," katanya.

Kumpulan A pula dibarisi juara bertahan Thailand, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste.

Aksi separuh akhir dijadualkan 25 Oktober ini, disusuli perlawanan penentuan tempat ketiga dan final pada 27 Oktober ini.

Kejohanan tersebut turut menjadi saingan kelayakan Kejohanan Futsal AFC 2020 dengan tiga pasukan terbaik akan mewakili zon ASEAN ke pusingan akhir kejohanan itu yang dijadual berlangsung di Turkmenistan dari 27 Februari hingga 8 Mac, 2020.

Dalam edisi Kejuaraan Futsal AFF tahun lalu di Jogjakarta, Indonesia, skuad negara menamatkan cabaran selaku naib juara selepas tumpas 2-4 kepada Thailand di pentas final.

-- BERNAMA