Ketua jurulatih futsal skuad Pahang Rangers FC, Gerard Casas, menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar mewujudkan satu mekanisma terbaik bagi memilih wakil ke Kejohanan Futsal Kelab AFC tahun depan selepas Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dibatalkan.

Badan induk itu pada Isnin lalu mengumumkan saingan berkenaan di samping Piala Presiden dan Piala Belia musim ini dibatalkan akibat kekangan COVID-19, sehubungan itu tiada juara untuk kejohanan tersebut.

Justeru, Pahang Rangers, antara pasukan yang berbelanja besar musim ini, terpaksa akur dengan keputusan ditetapkan sambil mempersoalkan siapa yang bakal mewakili Malaysia dalam kejohanan itu.

Jika mengikut format asal, juara liga akan dapat slot automatik ke saingan itu.

"Saya berharap FAM akan wujudkan satu kejohanan agar dapat menawarkan peluang buat semua pasukan merebut kelayakan ke Kejohanan AFC.

"Kalau liga tidak dapat dianjurkan, mungkin kejohanan seperti Piala Malaysia boleh diadakan.

"Ia harus dilakukan," katanya dalam wawancara di video bersama wakil Nadi Arena, Adam Zamri.

Selain itu, pengendali kelahiran Sepanyol yang mempunyai kontrak setahun sahaja bersama kelab Pantai Timur berkenaan lega apabila majilkannya itu turut bersedia untuk melanjutkan kontraknya sehingga musim depan setelah hanya mampu membimbing pasukan mereka dalam satu perlawanan sahaja.

"Saya memiliki keyakinan bahawa kontrak kami akan dipatuhi kerana mereka sentiasa bersikap baik terhadap saya.

"Saya merancang untuk kekal musim depan."