Farahiyah Ridzuan diangkat sebagai pemain terbaik Kejohanan Futsal Antarabangsa Powernet selepas membantu Perak membelasah lawan dari Indonesia, Inspire Medan, 9-0 dalam final untuk menjulang Piala Raja Nazatul Shima di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Pasukan yang dibimbing Rasidi Hashim itu menurunkan barisan terbaik walaupun pernah menewaskan Inspire dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Dan mereka melaungkan amaran awal dengan gol pembukaan yang diledakkan rembatan jarak jauh Rabiah Kadir.

Gol kedua pula muncul beberapa minit kemudian apabila gerakan awal yang dilakukan Rabiah disempurnakan kemas oleh Liyana Soberi.

Perak terus melebarkan jurang dengan sentuhan Dayang Nur Atasha Shahrulsani pada minit ke-12.

Rabiah kemudian meraih gol kedua peribadi menerusi satu lagi rembatan padu yang menembusi pertahanan Inspire.

Perak memulakan separuh masa kedua dengan sepakan penalti yang disempurnakan Shazreen Munazli.

Farahiyah kemudian mencuri tumpuan menerusi penyudah jarak jauh berkelas dunia untuk meletakkan pasukan tuan rumah itu selesa dengan kelebihan enam gol.

Bekas penyerang kebangsaan itu terus mempamerkan bisanya untuk menjaringkan gol ketujuh perak sebelum Shazreen menambah yang kelapan.

Seminit sebelum wisel penamat, penyerang kecil molek itu meraih hatriknya untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan berkenaan.


Editor: Muzaffar Musa