Biarpun digugurkan daripada skuad kebangsaan, pemain futsal berpengalaman negara, Khairul Effendy Bahrin, masih akan terbang ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, namun bukan sebagai pemain, sebaliknya memberi sokongan moral dari bangku penonton.

Kapten pasukan futsal negara itu menjadi salah seorang daripasa empat pemain yang digugurkan daripada Kejohanan Piala AFF yang bermula Isnin ini.

Tiga lagi pemain terdiri daripada Firdaus Ambiah, Ekmal Sharin serta seorang lagi penjaga gol, Syawal Sabaruddin.

Pemain Pahang itu, yang muncul sebagai tonggak penting negara sebelum ini, terpaksa digugurkan kerana masih belum pulih daripada kecederaan buku lalinya sejak pulang daripada menjuarai Piala Belt and Road di China, bulan lalu.

Ketiadaannya itu bermakna lilitan kapten akan diserahkan kepada pemain pivot, Saiful Nizam Mohd Ali.

"Ini kali pertama saya tidak menyertai Kejohanan AFF.

"Saya agak terkilan kerana sudah bermacam usaha dilakukan, malah doktor juga menasihati saya agar tidak terbabit dengan latihan keras," katanya ketika ditemui di kediamannya di Klang, pagi tadi.

Justeru, Khairul Effendy perlu berehat sekurang-kurangnya empat bulan untuk pulih sepenuhnya.

"Saya akan tetap ke sana sebagai penyokong untuk memberikan sokongan.

"Insya-Allah dengan kehadiran saya, ia diharapkan mampu menyuntik semangat pasukan," katanya yang akan mengeluarkan duit sendiri.