Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mempercepatkan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim 2021 selepas saingan musim ini dibatalkan gara-gara pandemik Covid-19, kata ketua jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas.

Pengendali berusia 31 tahun dari Sepanyol itu, walaupun kecewa dengan pembatalan pertandingan, menerima keputusan yang dibuat oleh badan induk kebangsaan itu dalam menjaga kesejahteraan jurulatih, pemain dan peminat.

"Ia sangat mengecewakan kerana saya telah menyiapkan skuad terbaik untuk musim ini tetapi pertandingan dibatalkan kerana wabak itu.

"Saya dapat melihat kegembiraan dalam kalangan pemain saya ketika pasukan ini mengalahkan Sarawak 9-1 dalam perlawanan pembukaan.

"Walaupun begitu, saya berharap FAM dapat mempercepat musim 2021 ketika keadaan Covid-19 bertambah baik," katanya dalam hantaran terbaru laman Facebook pasukan itu.

Casas, yang telah kembali ke negaranya, memuji usaha yang dilakukan Kerajaan Malaysia, termasuk petugas barisan depan, dalam memerangi ancaman wabak itu di negara ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mengumumkan pembatalan pertandingan Piala Belia, Piala Presiden dan MPFL disebabkan bola sepak dan futsal merupakan antara aktiviti yang dilarang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana ia dikategorikan sebagai sukan melibatkan sentuhan.

-- BERNAMA