Kerancakan e-sukan di Malaysia kini bakal disemarakkan lagi dengan adanya Kejohanan Yeah! Liga Asia yang bakal bermula tahun depan.

Selain penganjuran liga, Yes E-Sports Asia juga menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai bakat baru dengan mewujudkan kemudahan latihan serta kursus untuk membentuk generasi muda menjadi pemain e-sukan bertaraf profesional.

Penganjuran liga ini juga diharap dapat menjadikan e-sukan sebagai kerjaya.

"Kami bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan pihak universiti dan institusi pendidikan di Malaysia.

"Kami bermula dengan baik menerusi golongan pemain dedikasi yang ingin beralih ke bidang profesional menerusi platform ini," ujar Ketua Pengarah Urusan Yes E-Sports Asia, Tim Shen.

Penganjuran liga Asia itu tampak selaras dengan hasrat kerajaan untuk meletakkan e-sukan setaraf dengan sukan-sukan lain di negara ini selain menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan.

"Kejohanan ini dapat membantu atlet e-sukan pada masa depan, lebih-lebih lagi golongan pelajar.

"Sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian di akademi sukan kami, mereka boleh mengembangkan karier bukan sahaja di negara ini, malah di peringkat antarabangsa.

"Kejohanan merupakan medan untuk mereka mencari tapak di pentas Asia Tenggara," ujar jurulatih Akademi E-Sports Asia, Ahmad Syazwan.

Kuala Lumpur dipilih sebagai venue pertama penganjuran liga ini, disusuli Bangkok (Thailand) dan Tokyo (Jepun).