Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mahu Persatuan E-Sukan Malaysia (ESM) diperkasakan semula oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam industri berkenaan untuk menjadi antara negara utama E-sukan di rantau Asia Tenggara.

Segala aktiviti membabitkan E-Sukan di Malaysia berada di bawah penyeliaan ESM yang didaftarkan di pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada 4 Disember 2014.

Begitupun, ia dipalit dengan beberapa kontroversi, khususnya mengenai pemilihan ahli yang layak menerajui badan berkenaan, sehingga tidak dapat memainkan fungsi sebagai peneraju E-Sukan di Malaysia.

Lantaran itu, Syed Saddiq berharap pemilihan baru ESM yang dijadualkan pada Mac tahun hadapan dapat memperkasakan semula E-Sukan, apatah lagi ia menerima peruntukan RM10 juta menerusi Belanjawan 2019.

Peranan ESM juga lebih penting tahun depan dengan acara itu bakal dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019.

"Yang pertama sekali, saya ingin syorkan ESM perlulah melibatkan individu yang terlibat secara langsung dalam industri E-Sukan itu sendiri.

"Yang kedua, rintihan atlet berkenaan isu pengendalian ESM atas masalah seperti elaun menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa yang belum dijelaskan dan organisasi yang lemah yang masih ada ruang yang boleh diperbaiki," katanya.

Syed Saddiq berkata demikian selepas menghadiri hari pertama penganjuran Kejohanan Kuala Lumpur Major di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Kejohanan yang buat julung kalinya diadakan itu menyaksikan pasukan dari seluruh dunia berentap dalam saingan Dota 2 yang juga sebahagian daripada sirkit profesional bagi musim 2018/2019.

Hadir sama, Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay, serta Ketua Pegawai Operasi Liga Pemain Profesional (PLG), Silviu Stroie.

Mengulas perbezaan atlet yang bermain sukan itu berbanding sukan biasa, Choong Khay percaya E-Sukan juga mempunyai peminat tersendiri bagi setiap jenis permainan yang dipertandingkan.

"Senarionya seperti sukan lazimnya. Setiap permainan E-Sukan mempunyai peminat tersendiri di antara satu sama lain.

"Kami melihat semakin banyak persatuan yang diserapkan dalam MOM," katanya.