Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) mahu membuka peluang kepada orang kelainan upaya untuk terlibat dalam e-sukan sebagai sebahagian perancangan badan induk itu bagi tahun depan.

Sebelum ini, skuad sukan elektronik Malaysia mengubah persepsi khalayak ramai terhadap sukan tersebut apabila meraih pingat emas pertama dalam Sukan SEA 2019.

Kini misi tahun 2020 ESM ingin membawa kelainan dengan keinginan menarik minat orang kelainan upaya untuk menceburi sukan tersebut.

"Kami sedang mencari atlet e-sukan yang terdiri daripada golongan kelainan upaya.

"Saya percaya mereka perlu diberi peluang yang sama rata seperti atlet di luar sana," kata Ketua Komunikasi ESM, Muhammad Farouq Abdul Patah.

Tambahnya, ESM bercadang untuk mula merekrut atlet e-sukan negara yang tetap disebabkan kebanyakan mereka mempunyai komitmen dalam kejohanan.

"Kami mahu melakukan proses pemilihan yang lebih baik bagi atlet akan datang.

"Kami mengintai atlet jangka masa panjang berbanding jangka pendek memandangkan sejak sesi pemilihan dilakukan pada 2015 bagi mewakili negara dan di peringkat antarabangsa, mereka hanya membuat sekali penampilan," katanya lagi.

Sukan elektronik juga buat julung kalinya akan dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Julai depan.