PMPL Asia Tenggara: Yoodo Gank juara musim kedua 

Oleh Bernama 4 Mei 2020 281
PMPL Asia Tenggara: Yoodo Gank juara musim kedua 
Skuad sukan elektronik (E-sukan) negara, Yoodo Gank, mengharumkan negara di persada Asia Tenggara apabila muncul juara final musim pertama 2020 Kejohanan PUBG Mobile Pro League (PMPL) Asia Tenggara, malam tadi.

Yoodo Gank dinobatkan juara selepas mengumpul 284 mata dalam saingan 15 pusingan dengan membawa pulang hadiah wang tunai US$30,000 (RM128,000).

Kejayaan tersebut membolehkan mereka menjadi pasukan kedua negara layak ke Kejohanan Liga Dunia selepas Team Secret merangkul kejuaraan musim kedua Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MY/SG).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mengucapkan tahniah kepada pasukan itu atas kejayaan cemerlang tersebut.

“Tahniah pasukan Malaysia, Yoodo Gank, kerana secara rasmi merebut tempat anda sebagai juara musim pertama Final PMPL SEA 2020.

“Buat pertama kalinya pasukan Malaysia memenangi kejohanan PUBGM di peringkat SEA. Biarkan ini menjadi batu loncatan untuk memburu pencapaian yang lebih gemilang,”  katanya dalam akaun Twitter.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen