Sukan eletronik atau e-sukan semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Ketika ini sedang berlangsungnya Kejohanan Piala Jemputan Empat Negara MPL, yang disertai pasukan dari Indonesia, Myanmar, Singapura dan Malaysia.

Setiap pasukan akan berentap di platform Mobile Legends dengan hadiah wang kemenangan bernilai RM500,000 menjadi rebutan.

Team Bosskurr antara sandaran negara dalam kejohanan itu.

Bersaing dalam Kumpulan B peringkat kelayakan, pasukan yang diketuai oleh Ali Huzaifi "Leixia" Hazawi itu lebih selesa dengan gelaran pasukan bukan pilihan untuk merangka strategi dalam mengejutkan setiap lawan.

"Kami tidak mengamalkan permainan individu tetapi secara berpasukan, jadi semua pemain perlu satu kepala," kata Leixia dalam satu temu bual eksklusif bersama Nadi Arena.

"Dalam kejohanan ini, semua pasukan kuat kecuali kami.

"Daripada segi pengalaman, kami tidak bersedia ketika tewas dalam perlawanan pertama.

"Kami terkejut dengan pemilihan Meta (watak) mereka yang tidak dijangkakan," katanya.



Dalam pada itu, rakan sepasukannya, Amir Afdhal "Syno" Ruzlan, mengakui bahawa Malaysia masih ketinggalan di belakang beberapa negara daripada segi pembangunan e-sukan.

"Anda dapat lihat daripada persediaan pasukan lain, daripada segi fasiliti pemain seperti telefon pintar dan kemudahan lain.

"(Ia merupakan satu keperluan) untuk industri e-sukan berkembang.

"E-sukan masih amat baru di negara kita dan ia akan mengambil masa sebelum kita dapat bersaingan dengan negara lain," katanya.



Walaupun sedang berada di tangga ketiga Kumpulan B, Team Bosskurr masih berpeluang untuk ke pusingan playoff seandainya menewaskan pasukan dari Indonesia, Alter Ego Esports, dalam perlawanan seterusnya.

Kejohanan Piala Jemputan Empat Negara MPL disiarkan secara langsung di saluran EGG Network dan Astro Arena dari bermula Jumaat ini sebelum pusingan playoff membuka tirai pada 3 Julai depan.