MOM mahu MSN jelaskan sistem latihan baru

Oleh Penulis Jemputan 12 November 2018 103
MOM mahu MSN jelaskan sistem latihan baru
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan penjelasan lanjut mengenai program latihan atlet secara berperingkat yang bakal digunakan bermula tahun depan.

Sistem berperingkat itu merupakan susulan daripada sesi bedah siasat Program Podium yang tidak mencapai sasaran dalam dua temasya utama tahun ini, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Menerusi sistem itu, beberapa sukan dibahagikan kepada empat peringkat berdasarkan kepada kedudukan mereka dalam Sukan Olimpik selain pencapaian dalam temasya-temasya utama lain.

Difahamkan, hanya 27 sukan tersenarai dalam sistem berkenaan dan MOM mahu MSN memastikan sukan-sukan lain tidak terabai di sebalik persoalan mengenai peruntukan yang bakal diterima oleh setiap persatuan sukan kebangsaan.

MSN perlu memberikan penjelasan itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

 "Saya mendapat maklum balas bahawa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan berjumpa dengan wakil persatuan-persatuan sukan.

"Kami akan menghantar surat kepada MSN supaya mereka menghantar wakil dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM bagi memperjelaskan keadaan semasa," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria. 

Dalam pada itu, Norza turut menjelaskan ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina 2019 akan diputuskan selepas mesyuarat berkenaan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemilihan yang diketuai Naib Presiden MOM, Tan Sri Mohd Noor Rahim, menyenaraikan lima calon yang melibatkan tiga individu lelaki serta dua individu wanita kepada Lembaga MOM.

"Kami akan mencadangkan dalam mesyuarat tersebut dan selepas mendapat persetujuan, kami akan melantik ketua kontinjen negara secepat mungkin," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen