E-Sukan mendapat perhatian meluas apabila julung kalinya terlibat secara rasmi dalam sambutan Hari Sukan Negara 2018 dengan penyertaan sekitar 900 orang, seiring dengan hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat sukan elektronik di Asia.

E-Sukan yang berkembang pesat di rantau Asia Tenggara ketika ini bakal membuka ruang lebih besar kepada penglibatan anak muda dalam acara itu pada masa akan datang.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mahu memastikan sukan itu tidak terus tenggelam tatkala penghasilan yang diperoleh menerusi E-sukan sudah hampir mencecah RM2.5 bilion.

Penyertaan meluas anak muda dalam acara itu pada Hari Sukan Negara 2018 hari ini membuktikan minat mendalam mereka terhadap sukan elektronik yang turut dikunjungi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad, di venue khas E-Sukan.

"Ini kali pertama E-Sukan terlibat secara rasmi dalam aturcara Hari Sukan Negara.

"Saya sangat gembira dan akan menggalakannya kerana pertama sekali, Malaysia dalam kedudukan yang agak unik.

"Kalau kita lihat, E-Sukan berkembang cukup pesat di rantau Asia Tenggara," kata Syed Saddiq.

Dianggarkan sejuta rakyat Malaysia terlibat dalam sambutan Hari Sukan Negara kali ini dengan Kuala Lumpur Sports City paling mencuri tumpuan apabila dihadiri seramai 25,000 pengunjung.