Demi meneruskan minat mendalamnya terhadap dunia perlumbaan, Aiman Haziq Aidi, memutuskan untuk beralih kepada pemanduan dalam kancah E-Motorsports negara untuk menggilap bakatnya.

Bercita-cita menjadi pelumba profesional, Aiman akur kos tinggi membabitkan perlumbaan kereta menjadi penghalang terbesarnya.

Begitupun, Aiman berpeluang menggunakan E-Motorsports sebagai platform untuk melonjakkan cita-cita sebagai pemandu profesional pada suatu hari nanti.

"Cita-cita saya memang nak menjadi pelumba kereta.

"Semasa kecil, saya meminati sukan go-kart dan seumpamanya tetapi oleh kerana kosnya semakin mahal, jadi saya fokus kepada E-Motorsports, namun saya tidak begitu meminati jenis E-Sukan seperti Dota.

"Lagipun, saya sering mengikuti perkembangan kancah Formula Satu mahupun perlumbaan GT," katanya.

Berbanding memandu jentera sebenar, Aiman mendedahkan perasaan dalam pemandu E-Motorsports tentulah tidak sama. Contohnya gegaran kereta yang tidak boleh dirasai, maka dia perlu menggunakan imaginasi sendiri dan bergantung kepada visual sahaja.

Bagaimanapun, mereka tetap berpeluang untuk menunjukkan kebolehan dalam perlumbaan sebenar dan mereka kini berentap untuk merebut slot ditawarkan penganjur Perlumbaan Siri Kejuaraan Malaysia.

"Kalau memandu kereta sebenar, lebih mudah.

"Saya kini fokus kepada saingan dalam siri perlumbaan e-Malaysia Championship Series (eMCS) 2018. Mereka mempunyai pangkalan serta merupakan penganjur perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

"Enam pelumba terhandal berpeluang untuk memandu jentera sebenar dan juara akan meraih penajaan selama setahun," tambahnya.

Dalam masa sama, Aiman amat berterima kasih kepada keluarganya yang memberi sokongan sejak awal pembabitannya.

"Saya mula berkecimpung dalam E-Motorsports sejak lapan tahun lalu, iaitu ketika saya berusia 12 tahun.

"Bapa yang menghadiahkan stereng pertama dengan saya beraksi dalam permainan Grand Tourismo 5.

"Tetapi, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk saya mencapai tahap tinggi," katanya.