Pemenang pingat emas e-sukan Sukan SEA Filipina 2019, Dr. Yew Weng Kean, tidak menolak untuk beralih ke bidang kejurulatihan seandainya tuan rumah edisi 2021, Vietnam, tidak menyenaraikan permainan Hearthstone.

Dr. Weng Kean mencipta kejutan apabila menjadi atlet e-sukan pertama Malaysia memenangi pingat emas dalam Sukan SEA menerusi Hearthstone.

Kini, impiannya adalah untuk memastikan kelangsungan dan perkembangan bakat baru sukan itu selepas ia mula mendapat perhatian masyarakat.

"Kita perlu lihat dahulu apa permainan yang ada dan kalau saya mempunyai potensi dalam permainan tersebut, saya akan mencuba yang terbaik.

"Tetapi jika tiada, mungkin saya akan menawarkan khidmat saya sebagai jurulatih untuk melatih bakat-bakat negara dalam temasya itu," katanya.

Dalam masa sama, Dr. Weng Kean yakin Vietnam akan menyenaraikan sukan itu, namun masih tidak pasti mengenai kategori yang akan dipertandingkan.

"Saya yakin e-sukan akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Vietnam.

"Tetapi berkenaan kategori yang akan dipertandingkan, ia terpulang kepada tuan rumah itu kerana mereka pasti akan menyenaraikan kategori yang memberikan mereka kelebihan," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa