Covid-19: E-sukan lancar aktiviti sempena PKP

Oleh Shaiful Shamsudin 6 April 2020 204
Covid-19: E-sukan lancar aktiviti sempena PKP
Di sebalik banyak penundaan dan pembatalan kejohanan ekoran penularan wabak koronavirus baru (Covid-19), Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) mengambil inisiatif sendiri dengan menganjurkan Kejohanan e-sukan, [email protected], secara di atas talian. 

Kejohanan yang melibatkan 13 negeri dan dua Wilayah Persekutuan itu bakal membuka tirai pada 9 hingga 14 April depan yang terbuka kepada seluruh peminat e-sukan negara.

Dua jenis permainan yang dipertandingkan ialah Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) serta Playerunknown's Battlegrounds Mobile (PUBG).

Menurut Naib Presiden 1 ESM, Muhammad Naim Al Amin Saharudin, pastinya kelancaran rangkaian internet menjadi cabaran namun mereka optimis kejohanan ini bakal menjadi satu aktiviti bermanfaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"ESM faham ada beberapa tempat mengalami masalah talian internet yang tidak berapa baik.

"Bagaimanapun, objektif program ini menekankan khususnya kepada peminat e-sukan agar mempunyai aktiviti dalam tempoh PKP supaya mereka duduk di rumah," katanya menerusi temu bual video bersama wartawan Nadi Arena, Norhaliza Hamzah, hari ini.

Ini adalah salah satu usaha dalam mendidik masyarakat mengenai potensi e-sukan sekali gus mampu melahirkan atlet profesional di Malaysia.

"Marilah kita memberi sokongan kepada program Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ESM supaya kita dapat merakyatkan sukan ini selain memberi mesej kepada belia-belia di luar sana untuk mengikuti PKP."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen