Conte: Dortmund gementar di San Siro

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2019 366
Conte: Dortmund gementar di San Siro
INTER 2 DORTMUND 0

Antonio Conte mendakwa Borussia Dortmund gemuruh berdepan Inter selepas The Nerazzurri merakamkan kemenangan 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Lautaro Martinez dan Antonio Candreva menjaringkan gol untuk Inter di San Siro untuk kemenangan pertama kelab Itali itu dalam saingan Eropah di bawah kepimpinan Conte.

Martinez – yang gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam separuh masa kedua -- meledak gol kelima daripada empat perlawanan bersama Inter apabila membuka jaringan pada minit ke-22 sebelum Candreva memastikan tiga mata diraih menerusi jaringan pada penghujung permainan.

Ia merupakan kemenangan pertama Inter ke atas lawan dari Jerman itu sejak Mac 2011 dan ketua jurulatih, Conte, berkata kepada Sky Sport Italia: "Borussia Dortmund mengubah sistem pertahanan kepada lima pemain di belakang, ini bermakna mereka takut dengan kemampuan Inter.

"Kami telah membuat persiapan untuk perlawanan yang berbeza tetapi berjaya menyesuaikan diri. Apabila Dortmund kembali mengubah formasi kepada 4-2-3-1 selepas perlawanan bersambung, kami turut menukar formasi permainan dan mengawal perlawanan.

"Kami telah bersiap sedia untuk memberikan tekanan di atas padang dan mereka mengubah sistem permainan. Perkara paling penting ialah kami tidak hilang kawalan bola serta berjaya menyerap serangan balas pasukan lawan.

"Roberto Gagliardini, Nicolo Barella dan Marcelo Brozovic memainkan peranan yang cemerlang ketika bertahan dan menyerang."

Inter kini meraih empat mata daripada tiga perlawanan Kumpulan F dan menghuni tangga kedua -- mendahului Dortmund menerusi perbezaan jaringan -- dan ketinggalan tiga mata kepada Barcelona.

"Satu perlawanan yang sukar. Masih sukar untuk melayakkan diri ke perlawanan seterusnya. Tetapi kami menyedari dan percaya dengan kemampuan Inter," tambah Conte.

"Pemain-pemain berjaya menangani masalah kecederaan dengan cemerlang dan menampilkan prestasi yang berkualiti."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen