Jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria, memberi keyakinan sepenuhnya kepada sebahagian besar bakat muda untuk membawa cabaran kelab dari Pahang itu dalam pentas Liga Perdana musim depan.

Kuantan FA mengambil lima pemain cemerlang daripada skuad Piala Emas Raja Pahang bagi menghadapi saingan Liga Perdana, satu pendekatan berani untuk memberikan ruang kepada pemain muda.

Bagi Zulhamizan, sebagai kelab yang berpangkalan di Pahang, mereka mahu membantu bakat-bakat baru ini mendapatkan ruang untuk beraksi di pentas tertinggi.

Jika diberikan masa, beliau optimis pemain-pemain berkenaan mampu membawa Kuantan muncul sebagai salah satu pencabar utama kejuaraan Liga Perdana.

"Kami mahu memberikan ruang kepada pemain-pemain muda yang dinilai berdasarkan prestasi dalam pasukan Piala Emas Raja Pahang dan mereka dilihat mampu bermain dengan lebih baik bersama pasukan Kuantan," ujarnya.

Selepas menamatkan cabaran di tempat kelapan pada 2016, Zulhamizan menyasarkan pasukan itu mampu mencipta sejarah beraksi dalam Piala Malaysia.

Pengalaman dua musim beraksi dalam Liga Perdana dijangka mampu membantu Kuantan menghadapi pasukan lawan yang mempunyai pemain berstatus bintang.

"Kami meletakkan sasaran sekurang-kurangnya menduduki tangga kelima dan ke atas, sekaligus layak untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim hadapan."

Saingan Liga Malaysia akan bermula dengan perebutan Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah pada 20 Januari, serentak dengan sepak mula Liga Perdana.

Liga Super pula akan bermula sehari selepas itu.