Zulhamizan mahu balas budi pemain

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2017 1151
Zulhamizan mahu balas budi pemain
Ketua jurulatih PDRM, Zulhamizan Zakaria, mendedahkan punca beliau mengambil lima pemain daripada bekas pasukannya, Kuantan FA selain dua pemain import, adalah kerana
mahu balas budi mereka setelah berdepan keperitan tanpa sebarang gaji hampir semusim.


Zulhamizan menjelaskan ia bukan punca sudah berasa terlalu selesa dengan pemain-pemain berkenaan, sebaliknya beliau mahu membalas segala pengorbanan mereka ketika beraksi untuk Kuantan FA.

Walaupun beliau sebenarnya mempunyai pilihan mendapatkan pemain lain, bekas tonggak Pahang era 90-an ini tetap memilih membawa semua pemain terbabit ke PDRM.

Baginya, keputusan itu dibuat kerana mahu menyelamatkan karier pemain-pemain terbabit selain menganggap mereka masih ada masa depan cerah dalam bola sepak negara.

“Bukan saya mencari jalan selamat, pemain-pemain yang dibawa ke PDRM ini telah bergelut bersama saya ketika beraksi untuk Kuantan FA.

"Pemain-pemain ini sentiasa memberikan prestasi terbaik ketika diturunkan, itu adalah punca saya membawa mereka bersama saya,” kata Zulhamizan.

Sementara itu, Shim Woon Sub, yang merupakan salah seorang bekas pemain Kuantan FA, menjelaskan dia tidak serik beraksi di sini.

Walaupun telah ke Liga Vietnam pada pertengahan musim lalu, dia tetap memilih datang semula ke sini atas faktor selesa bekerja dengan Zulhamizan serta liga negara ini yang lebih kompetitif.

“Saya mendapat banyak pengalaman bersama Kuantan dan jurulatih. Keselesaan bersama Zulhamizan merupakan faktor saya menyertai pasukan ini,” kata Woon Sub.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen